Sunday, June 12, 2011

tahniah Terengganu





Terengganu akhirnya berjaya membalas dendam bagi kekalahan 3-0 sebelum ini dengan kemenangan dramatik pada final Piala FA 2011 di Stadium Nasional Bukit Jalil malam tadi.

Bermain di hadapan 85,000 penonton, kedua-dua pasukan Kelantan dan Terengganu mempamerkan aksi yang agak seimbang di samping beberapa permainan agresif, namun kurang melakukan percubaan berbahaya.

Pemain Kelantan, Nurul Azwan Roya berjaya memecah kebuntuan gol apabila berjaya menewaskan penjaga gol Terengganu, Mohd Sharbinee Allawee Ramli pada minit ke-78.

Ketika Kelantan seakan yakin bakal menjuarai Piala FA yang pertama, pemain mereka iaitu Mohd Daudsu Jamaluddin tertanduk bola ke gawang sendiri pada minit terakhir masa kecederaan kesan rembatan striker Terengganu, Abdul Manaf Mamat yang begitu menyerlah malam itu.

Sorakan di stadium bertukar hak milik apabila para penyokong Kelantan terdiam menyaksikan gol penyamaan itu. Aksi pada masa tambahan jelas banyak dikuasai oleh pasukan Terengganu. Mereka begitu bersemangat dalam mengejar gol kemenangan.

Ahmad Nordin Alias muncul selaku wira Terengganu apabila menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-108, sekaligus menambahkan lagi derita para penyokong The Red Warriors.

Kejayaan tersebut membolehkan Terengganu yang dibimbing Irfan Bakti Abu Salim merangkul kejuaraan kedua Piala FA setelah melakukannya kali pertama pada tahun 2000.

Kelantan pula yang dibimbing oleh Datuk M. Karathu sekali lagi kempunan untuk menjulang Piala FA setelah percubaan pertama mereka pada 2009 dikecewakan Selangor.

Melalui kejayaan itu, Terengganu berjaya mendapatkan slot untuk beraksi pada saingan Piala AFC
2012. Kapten Terengganu, Mazuki Yusof dinobatkan selaku pemain terbaik perlawanan akhir.

No comments:

Post a Comment