Monday, March 14, 2011

penamat yg mengecewakan

KOO Kien Keat (kiri) dan Tan Boon Heong 

Selepas memperagakan persembahan hebat dalam laluan ke final, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong akhirnya gagal memperoleh penamat yang diimpikan apabila tunduk kepada pasangan No. 1 dunia, Mathias Boe-Carsten Mogensen pada penentuan kejuaraan badminton All England di Arena Tertutup Birmingham, semalam.
Hilang fokus akibat keinginan membuak-buak untuk menamatkan kemarau setahun tanpa gelaran antarabangsa mendorong kepada kekalahan 21-15, 18-21, 18-21 kepada Boe-Mogensen dalam masa 1 jam, 8 minit, biarpun Kien Keat-Boon Heong memulakan aksi dengan amat meyakinkan pada kejohanan badminton tertua di dunia itu.
Ini adalah penamat yang sangat mengecewakan buat anak didik Rexy Mainaky itu selepas mengharungi kempen cemerlang di Birmingham, termasuk menumbangkan juara Olimpik, Markis Kido-Hendra Setiawan dari Indonesia di suku akhir dan juara dunia China, Fu Haifeng-Cai Yun pada separuh akhir, kelmarin.
Malah semalam, keyakinan tinggi mengiringi langkah Kien Keat-Boon Heong untuk merampas kejuaraan yang kali terakhir dimenangi pada 2007, apabila bukan saja turun dengan rekod menang tujuh daripada lapan pertemuan menentang Boe-Mogensen, malah mudah menangi set pembukaan 21-15.
Beregu No. 5 dunia itu juga mendahului selesa 16-11 di set penentuan, namun sekali lagi mentaliti lemah dan kegagalan mengawal tekanan hebat memaksa mereka kecundang di tangan pasangan Denmark, yang merangkul gelaran besar buat kali pertama.
“Ia memang penamat yang mengecewakan buat Kien Keat dan Boon Heong, apatah lagi mereka telah menunjukkan persembahan yang amat hebat sepanjang kejohanan ini. Malah, hari ini mereka juga bermula dengan sangat meyakinkan, memenangi set pertama sebelum mendahului set penentuan.
“Bagaimanapun selepas memegang kelebihan 16-11 (set ketiga) fokus mereka mula hilang. Barangkali, keinginan yang terlalu tinggi untuk memenangi kejuaraan pertama selepas setahun menyebabkan mereka tidak sabar-sabar hendak menamatkan permainan, akhirnya ini membuka ruang kepada kesilapan demi kesilapan.
“Baik Koo mahupun Tan, kedua-duanya mula melakukan pukulan liar dengan smash yang tidak tepat. Biarpun pukulan lawan tidak tajam, mereka gagal mengembalikannya dengan baik, sebelum akhirnya menghadiahkan mata kemenangan kepada lawan hasil kesilapan sendiri,’’ kata Rexy yang dihubungi di Birmingham semalam.
Boon Heong menghadiahkan mata kemenangan kepada pasangan Denmark selepas melakukan pukulan yang meliar ke sebelah kiri gelanggang lawan, kesilapan yang disambut riang oleh Boe dan Mogensen yang terbaring kegembiraan.
Kali terakhir Kien Keat-Boon Heong merangkul kejuaraan dalam kalendar Persatuan Badminton Dunia adalah pada Terbuka Malaysia, Januari tahun lalu, namun mereka gagal mempertahankan gelaran, Januari lepas selepas kalah kepada pasangan tidak ternama China, Hong Wei-Shen Ye di pusingan pembukaan.
Kekalahan terbaru ini, memanjangkan kemarau Kien Keat-Boon Heong untuk mencari kejuaraan sulung, biarpun menunjukkan aksi agak konsisten sepanjang tahun ini dengan melangkah ke separuh akhir Terbuka Korea (Januari) dan Terbuka Jerman, minggu lalu.
Meskipun kalah, pasangan negara itu tetap pulang bersama hadiah lumayan AS$13,300 (RM40,500) selaku naib juara. Boe-Mogensen pula meraih AS$27,650 (RM84,000) selaku juara kejohanan Siri Super Premier.

No comments:

Post a Comment